Isteri penyanyi Zamani, Nur Juliana Abd Rani mendakwa suaminya tidak menerima bayaran ketika menjayakan Konsert Doa Buat Zamani yang berlangsung pada 30 September lalu.
Menurut laporan Harian Metro, penganjur konsert Aalan Ahmad bagaimanapun tampil menjelaskan bahawa kemungkinan wanita itu tersalah faham.
LAPORAN PENUH ADA DI BAWAH SEKALI
Aalan berkata, kategori tempat duduk Rindiani dijual sebanyak 72 keping, Nur Kasih (214), Maria Mariana (31), Kurnia (48) dengan kutipan keseluruhan berjumlah RM107,120.
“Jumlah itu kemudiannya dicampur dengan tiket pembelian Tuanku Permaisuri Selangor menjadikan jumlah terkumpul sebanyak RM116,120.
“Dari situ saya bayar segala kos berkaitan antaranya sewa pentas, pemuzik, artis undangan dan permit DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) yang jumlahnya mencecah RM111,485.
“Selepas ditolak kos itu, baki yang tinggal di tangan ialah RM4,635. Itulah pendapatan yang kami dapat. Wang itu akan diberikan kepada Zamani mengikut rundingan asal 70/30.
“Jadi tidak benarlah kenyataan yang dia tidak dapat sesen pun dari konsert terbabit. Saya masih ingat kenyataan Zamani tak kisah jika tiada untung besar asalkan kami tidak berhutang,” ujarnya.
Terdahulu, Juliana seolah-olah meluahkan rasa terkilan di status WhatsApp dipercayai ditujukan kepada individu tertentu.
“Aku ni hanya ada dia je dalam hidup aku tau, apa dosa dia sampai korang tergamak buat dia macam tu. Sampai sekarang dia masih percaya korang kawan dia.
“Lagi seminggu nak operate ni. Apa niat baru nak bagitahu benda ni semalam. Memang dia tengah down sekarang. Korang happy kan?
“Kalau dia decide putus harapan untuk hidup atau apa-apa jadi kat dia nanti lepas operation, sumpah aku cari korang sampai lubang cacing la se**n…cctv semua ade,” tulisnya.
Sumber: Harian Metro (Ridzuan Abdul Rahman) , Instagram Zamani & Aalan Ahmad