PENGANJUR Konsert Doa Buat Zamani iaitu Aalan Ahmad memberitahu maruah dirinya tercalar dengan tuduhan dilemparkan oleh isteri Zamani iaitu Nur Juliana Abdul Rani terhadapnya baru-baru ini.
Zamani bakal menjalani pembedahan tidak lama lagi.
Dalam pada itu, Aalan berkata, dia sudah cuba menghubungi Zamani sejak tiga hari lalu bagi menyelesaikan isu berkenaan namun penyanyi itu memilih untuk tidak menjawab panggilan dibuat.
Aalan berkata, masalah itu sebenarnya boleh diselesaikan di antara mereka dan tidak perlu didedahkan kepada pengetahuan umum.
“Saya dah cuba telefon Zamani tapi dia mendiamkan diri. Masalah ini sepatutnya boleh diselesaikan antara kami, tak perlu pun di bawa keluar,” ujarnya.
Mendedahkan perkara sebenar, Aalan mendakwa konsert berkenaan sebenarnya kurang mendapat sambutan penonton namun sebagai penganjur dia tetap cuba menjayakan agar ia nampak meriah.
Katanya, pihaknya terpaksa memberikan tiket secara percuma kepada ahli kelab peminat bagi memenuhkan ruang konsert agar ia tidak kelihatan hambar.
“Saya sebenarnya tidak mahu memberitahu hal ini kerana ia memalukan Zamani tetapi tiket hanya terjual sebanyak 367 keping berbanding kapasiti lokasi yang boleh menampung lebih 1,000 penonton.
“Itu pun disebabkan kami akan menjual konsert ini kepada stesen TV dan tiket diedarkan secara percuma bagi menampakkan penganjurannya meriah,” katanya.
Maklum Aalan, keuntungan konsert berkenaan hanya sebanyak RM4,635 setelah menolak semua kos keseluruhan penerbitan acara berkenaan.
“Semua keuntungan itu saya beri pada Zamani walaupun mengikut persetujuan perlu diagihkan 70 peratus kepadanya dan 30 peratus untuk saya.
“Tapi saya tidak tergamak ingin mengambil duit konsert kerana nilainya yang sedikit,” katanya.
Untuk rekod, tahap kesihatan Zamani atau Zamani Ibrahim, 51, semakin merosot akibat penyakit scoliosis yang dihidapi sejak empat tahun lalu.
Penyanyi itu turut bergantung kepada ubat tahan sakit setiap hari sementara menunggu pembedahan yang dijadualkan pada minggu depan.
mStar