SERAMAI kira-kira 100 orang dikhuatiri terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali, pada awal pagi Jumaat.
Pasukan bomba dan penyelamat kini berada di lokasi kejadian mencari mangsa yang berada di sebuah tapak perkhemahan.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.24 pagi sebelum menggerakkan anggota dan aset ke lokasi kejadian.
Setakat ini, 37 mangsa berjaya diselamatkan.
Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Selangor membantu pasukan keselamatan dalam operasi mencari dan menyelamat. foto APMTwitter
“Anggota penyelamat daripada lebih enam balai bomba bergegas ke lokasi kejadian.
“Usaha menyelamat masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi The Star.
Dilaporkan, ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 39 meter dengan anggaran keluasan runtuhan seluas satu ekar (kira-kira 0.4 hektar).
10 Berjaya Dibawa Keluar
SERAMAI 10 mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor pada awal pagi Jumaat.
“Mayat mangsa yang ke-10 berjaya dibawa keluar,” menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di laman Twiiter.
Terdahulu, Nadma memaklumkan setakat pukul 9.15 pagi Jumaat, seramai 92 mangsa telah ditemui.
“Hasil siasatan mendapati 53 mangsa ditemui selamat, tujuh cedera dan lapan mangsa meninggal dunia.
“Sehingga kini operasi SAR (mencari dan menyelamat) masih diteruskan,” katanya.
Lakukan Dengan Cermat
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua jabatan kerajaan terlibat dalam operasi misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor, menjalankan gerak kerja secara rapi dan sistematik.
Menerusi kenyataan, beliau memaklumkan terkejut dengan insiden yang berlaku di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm berhampiran jalan yang menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highland.
“Saya telah mendapat maklumat daripada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Menteri Besar Selangor terkait misi mencari dan menyelamat.
“Saya juga dimaklumkan menteri-menteri terlibat akan turun ke lokasi pada pagi ini. Namun, saya menasihatkan mereka agar tidak mengganggu kerja-kerja mencari dan menyelamat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menyeru rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan agar misi yang sedang dijalankan itu dapat dipermudahkan.
Beliau juga memaklumkan, akan turun ke lokasi kejadian pada sebelah malam.